Chongqing International Investment Meneliti Peluang Pelaburan Di Sarawak

28.08.2017--Chongqing International Investment Consultation Group Co Ltd dari China dan syarikat tempatan Solid Sunland Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman dan kerjasama untuk menerokai peluang-peluang pelaburan dalam pelbagai projek di Sarawak.

Memorandum itu ditandatangani oleh Naib Presiden Chongqing International Investment Consultation Group Co Ltd Zhou Qingrong dan Pengarah Urusan Solid Sunland Sdn Bhd Dato Hii King Chiong. Majlis menandatangani memorandum disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China ke Kuching Fu Jijun.

Zhou memberitahu wartawan selepas majlis tersebut bahawa selain menandatangani memorandum itu, tujuan utama lawatan mereka adalah untuk menggalakkan persefahaman dan menjalankan tinjauan di Sarawak.

Selain daripada projek pembangunan infrastruktur, syarikat China itu juga berminat untuk bekerjasama dalam bidang pelancongan dan pertanian.

Beliau menjelaskan bahawa banyak syarikat asing terlibat terutamanya dalam kerja-kerja pembinaan di Sarawak dan syarikat mereka bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh yang meliputi perkhidmatan perundingan, pelaburan, pembinaan, pengurusan dan operasi.

Selain daripada Kuching, syarikat China tersebut juga akan menerokai peluang kerjasama dalam pembangunan di bandar-bandar utama termasuk Miri dan Sibu serta melaksanakan projek-projek pembangunan melalui PPP (Public Private Partnership).

Chongqing International Investment Consultation Group Co Ltd ialah sebuah syarikat pelabur terkenal di China yang menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh dan terlibat dalam banyak projek PPP di dalam dan luar negara.