Hii King Chiong Akan Membuat Keputusan Selepas Keputusan SPR Diumumkan

17.05.2017--Dato Hii King Chiong enggan membuat sebarang pernyataan sama ada akan bertanding jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut. Katanya, beliau hanya akan mengulas selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan tersebut.

Tambahnya, SPR akan membuat keputusannya pada Jumaat ini dan beliau akan kembali (ke Kuching) dan membuat keputusannya kemudian.

Mengenai isu pelucutan kelayakan Dr Ting Choon Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Hii menjelaskan bahawa beliau tiada sebarang komen kerana ianya keputusan DUN.

“Tunggulah keputusan SPR. Saya akan membuat keputusan selepas itu. Saya tidak mahu membuat ulasan lanjut mengenai perkara ini.”

Pada pilihan raya negeri yang lalu, Dr Ting Tiong Choon wakil Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Walau bagaimanapun, Hii sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) juga mencapai keputusan yang baik dalam pilihan raya itu dengan memperoleh 7,140 undi.