Hii King Chiong : Kalah Menang Tidak Relevan Tetapi Kebenaran Adalah Penting

26.10.2016--Walaupun petisyen untuk membatalkan keputusan bagi konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut telah ditolak, Dato Hii King Chiong menganggapnya sebagai satu permulaan baru dan percaya bahawa kebenaran akan didedahkan satu hari nanti.

Hii berkata sesetengah pengundi mempunyai salah faham terhadapnya dan berpendapat bahawa beliau bertindak seolah-olah enggan menerima kekalahan berikutan tindakan memfailkan petisyen pilihan raya. Beliau menekankan bahawa kalah menang tidak penting tetapi kebenaran amat mustahak bagi melindungi kepentingan rakyat.

“Saya seorang ahli perniagaan. Saya menyertai politik dengan harapan untuk memberi sumbangan kepada rakyat tempatan. Walaupun niat baik saya telah diputarbelitkan oleh individu tertentu, saya tidak akan berputus asa dalam cita-cita saya untuk berkhidmat kepada rakyat, kerana Miri adalah tempat kediaman saya.”

Hii telah menyangka dirinya menjadi “sasaran” penyokong pihak yang bertentangan tetapi beliau tetap mengambil tindakan undang-undang atas satu sebab, iaitu untuk mendedahkan kebenaran.

Katanya, beliau jelas memahami pepatah “Yang menang jadi raja, yang kalah jadi penjahat”. Namun, sebab tunggal memfailkan petisyen adalah untuk melarang individu yang tidak layak daripada memasuki politik Sarawak!

Hii berkata penolakan petisyen tidak dapat membuktikan apa-apa kerana kes itu tidak memasuki pembicaraan kehakiman dan justeru itu kebenaran masih satu misteri. Beliau menjelaskan bahawa tiada sesiapa yang sempurna; beliau bertindak berdasarkan apa yang beliau fikir betul dan memohon maaf kepada orang ramai sekiranya tindakannya telah disalahtafsirkan.

Katanya, beliau tidak mahu mengorbankan masa depan Sarawak dan akan melakukan apa sahaja beliau rasa adalah betul dengan hati nurani yang jelas walaupun berkemungkinan disalahfaham oleh orang lain.

“Ramai kawan bertanya kepada saya mengapa saya menyertai politik lalu mengajak masalah dan salah faham yang tidak diperlukan. Jawapan saya ialah kita mesti bertindak dengan hati nurani yang jelas. Jika semua orang bersikap tidak peduli dan tidak sensitif, apa maknanya hidup di dunia ini?”

Beliau menyifatkan masyarakat sebagai pedang bermata dua dan ia adalah mustahil untuk membuat semua orang gembira. “Jika anda berdiri tegak benar dan jujur, anda tidak perlulah bimbang.”

Hii berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 dan tidak menyalahkan sesiapa pun. Katanya, mungkin segala yang beliau lakukan tidak mencukupi untuk mendapat sokongan penuh dan beliau menghormati keputusan pengundi. “Kekalahan adalah kekalahan, kemenangan adalah kemenangan. Jika pengundi memberikan kepastian dan pengesahan kepada anda, maka sebarang fitnah dan tuduhan palsu tidak akan mendatangkan sebarang kesan”. Beliau berterima kasih kepada pengundi atas penilaian mereka terhadapnya, supaya beliau dapat mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dirinya. Beliau juga berharap orang ramai dapat melihat isu ini dari sudut yang berlainan bagi kepentingan negeri dan rakyat.