Hii King Chiong : Mungkin Segala Yang Saya Lakukan Tidak Mencukupi, Namun Kegagalan Adalah Permulaan Kepada Kejayaan

08.05.2016--Calon langsung Barisan Nasional (BN) N74 Pujut Dato Hii King Chiong berkata selama ini Majulah Miri telah berkhidmat kepada masyarakat secara aktif tetapi keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan khidmatnya. Berhubung perkara ini, Hii bagi pihak semua ahli pasukannya memohon maaf kepada para pengundi.

Katanya, beliau menghormati keputusan pengundi dan mengambil kegagalan itu sebagai permulaan kepada kejayaan.

Hii hari ini memberitahu wartawan bahawa mungkin segala yang beliau lakukan tidak mencukupi untuk mendapat sokongan penuh dan memenangi kerusi Pujut tetapi beliau menghormati keputusan pengundi. Beliau berharap wakil rakyat yang terpilih akan menjaga kepentingan penduduk Pujut dan Krokop untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Tambahnya, beliau telah mendapat banyak pengalaman yang berharga daripada kekalahannya. Beliau turut meminta maaf kerana telah mengecewakan penyokongnya.

Ditanya sama ada kekalahan itu disebabkan oleh sabotaj, Hii berkata, “Kekalahan adalah kekalahan, kemenangan adalah kemenangan. Jika pengundi memberikan kepastian dan pengesahan kepada anda, maka sebarang fitnah dan tuduhan palsu tidak akan mendatangkan sebarang kesan”.

Beliau percaya bahawa ‘orang yang bijak tidak akan terperdaya dengan khabar angin’. Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas kekalahan tersebut dan tidak menyalahkan sesiapa pun.

Ditanya jika beliau akan meneruskan khidmat masyarakatnya, Hii tersenyum riang lalu berkata bahawa usaha berkhidmat kepada masyarakat telah lama menjadi sebahagian daripada hidupnya dan ini juga merupakan ajaran bapa dan datuknya. Walaupun tidak dapat mewakili rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk menghulurkan bantuan kepada kebajikan dan pendidikan kerana beliau memberi perkhidmatan adalah demi kesejahteraan rakyat dan bukannya untuk pilihan raya negeri.

Beliau berterima kasih kepada penduduk Miri atas penilaian mereka terhadapnya, supaya beliau dapat mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dirinya.

“Memandangkan pengundi telah memilih calon pilihan mereka, kami mesti mendoakan kesejahteraan mereka dengan tulus ikhlasnya dan berharap wakil rakyat yang terpilih akan berjuang untuk hak dan kepentingan pengundi dan membantu menyelesaikan masalah mereka.”