Hii King Chiong Tidak Akan Bertanding Pada PRK

19.05.2017--Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut telah ditetapkan pada 4 Julai tetapi Dato Hii King Chiong yang pernah bertanding sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) di konstituensi tersebut, telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan mengambil bahagian dalam PRK itu.

Hii berkata dalam temu bual bahawa beliau tidak berniat untuk bertanding pada PRK tersebut kerana merasakan dirinya masih mempunyai kelemahan dan oleh itu biarlah seseorang yang lebih berkemampuan berkhidmat kepada rakyat.

Berkenaan isu pelucutan kelayakan Dr Ting Choon Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Hii membalas dengan berkata, “Fakta bercakap lebih kuat daripada perkataan”.

Hii berkata bahawa sebab utama beliau memfailkan petisyen adalah untuk melarang individu yang tidak layak daripada memasuki politik Sarawak. Kebenaran telah pun dinyatakan kini dan ia membuktikan tindakannya sebelum ini telah dibuat dengan niat biak dan bukannya bertindak seolah-olah enggan menerima kekalahan.

“Petisyen itu telah ditolak atas kesilapan teknikal kerana gagal mematuhi prosedur berhubung pengemukaan petisyen pilihan raya. Kes tersebut tidak pun dibicarakan dan tidak sampai pun ke bab sama ada pemilihan calon itu sah atau tidak. Saya berhak membuat rayuan tetapi tidak bertindak sedemikian dan tidak ingin merumitkan lagi isu itu. Saya percaya bahawa kebenaran akan didedahkan satu hari nanti.”

Hii berkata sesetengah pengundi mempunyai salah faham terhadapnya dan berpendapat bahawa beliau bertindak seolah-olah enggan menerima kekalahan berikutan tindakan memfailkan petisyen pilihan raya. Namun, sebab tunggal beliau memfailkan petisyen adalah untuk melarang individu yang tidak layak daripada memasuki politik Sarawak.

Beliau telah meramal dirinya akan menjadi “sasaran” penyokong pihak yang bertentangan tetapi tetap mengambil tindakan undang-undang atas satu tujuan, iaitu untuk mendedahkan kebenaran.

“Ramai orang berpendapat bahawa saya akan bertanding lagi dalam PRK ini. Sebenarnya saya tidak akan, kerana pengundi sudah menyatakan hasrat mereka pada pilihan raya negeri tahun lalu dan saya menghormati keputusan mereka.”
    
Hii menjelaskan bahawa semua orang mempunyai kedudukan yang sama di depan hukum dan Dr Ting bolehlah mengemukakan bukti atau dokumen undang-undang yang relevan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah jika beliau bertegas dirinya tidak melanggar peruntukan Perlembagaan.

Katanya, beliau akan melakukan apa sahaja beliau rasa adalah betul dengan hati nurani yang jelas walaupun berkemungkinan disalahfaham oleh orang lain.

“Tiada sesiapa yang sempurna dan ia adalah mustahil untuk membuat semua pihak gembira. Asalkan anda berdiri tegak benar dan jujur, anda tidak perlulah bimbang.”

Tambahnya, beliau memahami dirinya masih mempunyai kelemahan daripada pengalaman pada pilihan raya negeri tahun lalu di mana beliau tidak mendapat sokongan penuh untuk memenangi kerusi Pujut. Namun begitu, beliau berkata akan terus melakukan yang terbaik untuk memberi perkhidmatan dan pertolongan kepada rakyat tidak kira sama ada beliau menyertai politik atau tidak. Beliau juga berharap orang ramai akan terus memberi tunjuk ajar dan cadangan supaya beliau boleh meningkatkan dirinya dan melakukan kerja-kerja dengan lebih baik.