Syarikat China Terkemuka Lawat Sarawak Untuk Peluang Pelaburan

30.08.2017--Chongqing International Investment Consultation Group Co Ltd dari China dan syarikat tempatan Solid Sunland Sdn Bhd sebelum ini telah menandatangani memorandum persefahaman dan kerjasama untuk menerokai peluang-peluang pelaburan dalam pelbagai projek di Sarawak.

Majlis menandatangani memorandum disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China ke Kuching Fu Jijun.

Delegasi Chongqing International Investment Consultation Group Co Ltd yang diketuai oleh Naib Presiden Zhou Qingrong baru-baru ini membuat lawatan ke Sarawak untuk menjalankan tinjauan. Selain menghadiri majlis menandatangani memorandum, delegasi itu juga membuat kunjungan ke Kuching, Sibu, Betong dan Miri dan diiringi Pengarah Urusan Solid Sunland Sdn Bhd Dato Hii King Chiong.

Lawatan tersebut dianjurkan bagi memudahkan pemahaman para pelabur mengenai pembangunan tempatan di Sarawak supaya mereka dapat merangka pelan pelaburan dan peluang kerjasama yang lebih lanjut. Antara program lawatan termasuk tinjauan ke pelabuhan laut dalam, ladang kelapa sawit, universiti dan sebagainya.

Tujuan utama kunjungan mereka adalah untuk menggalakkan persefahaman dan menerokai peluang-peluang pelaburan di Sarawak. Syarikat China tersebut bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh dan mengambil bahagian dalam projek-projek pembangunan di Sarawak.

Selain daripada Kuching, syarikat China tersebut juga akan menerokai peluang kerjasama dalam pembangunan di bandar-bandar utama termasuk Miri dan Sibu serta melaksanakan projek-projek pembangunan melalui PPP (Public Private Partnership).