Hii King Chiong : Hentikan Serangan Antara Parti-Parti, ‘Berkhidmat Untuk Rakyat’ Adalah Objektif Utama
12.11.2014--Pengerusi protem Cawangan Piasau Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Hii King Chiong berkata bahawa seseorang tidak patut mencemarkan orang lain bagi kepentingan peribadi. Asalkan objektif sebenar adalah berkhidmat untuk rakyat, seseorang tidak perlu bimbang dengan kemunculan parti-parti baru atau risau akan kehilangan kuasa.
"UPP bukannya parti serpihan daripada parti-parti lain dan matlamatnya adalah untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat Sarawak", Hii memberitahu pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan ibu pejabat UPP Wilayah Utara Sarawak di Miri Waterfront.
Hii enggan mengulas mengenai bantahan SUPP terhadap UPP memasuki BN dan keengganan melepaskan mana-mana kerusi yang ditandinginya. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penekanan perlu diberikan kepada rakyat serta hasrat mereka dan bukannya pertelingkahan yang tidak perlu antara parti-parti.
Beliau berkata parti yang kehilangan sokongan rakyat telah bergerak bertentangan dengan matlamat asas penubuhan parti dan oleh kerana ini adalah pilihan rakyat, ia tidak patut menyalahkan orang lain.
Beliau menekankan bahawa pertandingan menggalakkan kemajuan. Orang ramai menyertai UPP dengan satu matlamat, iaitu berkhidmat untuk rakyat, menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Apabila ditanya sama ada UPP sudah bersedia untuk pilihanraya akan datang, Hii berkata jika rakyat memerlukan UPP, UPP akan melakukan yang terbaik untuk rakyat. Hii berkata beliau menyertai parti tersebut dengan satu matlamat, iaitu mempertahankan kepentingan rakyat melalui platform politik dan mewakili rakyat sebagai saluran suara mereka.
"Pusat Khidmat Masyarakat Hii King Chiong kini memasuki tahun ketiga sejak pengasasan dan telah menerima banyak aduan mengenai isu-isu tempatan daripada masyarakat. Jika wakil-wakil politik telah memberi perhatian kepada pendapat rakyat dan sentiasa mendahulukan rakyat, 'Pusat Khidmat Masyarakat Hii King Chiong' tidak perlu diwujudkan langsung."
Beliau menjelaskan bahawa usaha gabungan daripada kedua-dua platform politik dan pusat khidmat masyarakat akan membuahkan hasil yang lebih baik dalam menangani dan menyelesaikan masalah rakyat.
Hii berkata untuk mempertahankan kepentingan rakyat demi masa depan yang lebih baik, kita mesti bekerjasama dan bersatu padu. Sebagai wakil rakyat, kami mesti sentiasa mendahulukan rakyat dan membina kepercayaan mereka terhadap kami.
Beliau berharap apabila UPP beroperasi secara rasmi, usahasama akan dilaksanakan untuk mengutamakan isu-isu kepentingan negara dan UPP akan menjadi parti sokongan rakyat.
[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"1571","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"318","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]