Hii King Chiong: Mengintegrasikan Objektif Parti & Hasrat Rakyat, UPP Memberi Khidmat Sebanyak-banyaknya Kepada Rakyat

23.11.2014--Pengerusi UPP Cawangan Piasau Dato Hii King Chiong berkata jika komuniti Cina dan komuniti-komuniti lain berpecah kerana perbalahan dalaman, maka Parti Rakyat Bersatu (UPP) ingin menyatukan semula rakyat, mengintegrasikan objektif parti dan hasrat rakyat dan sedia memberi khidmat sebanyak-banyaknya kepada rakyat.

“Politik adalah kompleks dan realistik. Tanpa sokongan rakyat, tidak adanya kuasa politik,” Hii berkata dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan julung kali dan makan tengah hari untuk cawangan-cawangan parti di wilayah Miri - Piasau, Senadin, Pujut dan Bekenu.

Beliau berkata walaupun UPP adalah parti politik yang paling muda di negara ini, ia mempunyai pekerja-pekerja politik dan sosial yang sangat berpengalaman, akar umbi yang besar, ahli-ahli dan para penyokong yang setia.

“Komrad-komrad yang dikasihi, penubuhan empat cawangan UPP iaitu Piasau, Senadin, Pujut dan Bekenu di wilayah Miri adalah satu peristiwa bersejarah. Kita mesti sentiasa mengingati ikrar kita kepada parti dan kepada rakyat - Setia Kepada Parti, Rakyat Didahulukan.”

Hii menekankan bahawa UPP yakin lebih ramai orang akan menyertai parti tersebut sebagai ahli dan dengan itu memperkukuhkan lagi parti. Beliau menegaskan bahawa kejatuhan beberapa parti lama pada masa dahulu adalah kerana mereka kehilangan arah dan berpisah daripada rakyat. Beliau menggesa ahli-ahli supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Beliau menegaskan agar semua berhenti membuang masa berhujahkan isu-isu yang tidak penting mengenai siapa yang patut bertanding untuk kerusi yang mana atau sama ada mana-mana parti boleh menyertai Barisan Nasional. “Apa yang penting sekarang ialah untuk segera mengenal pasti rancangan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dengan mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat. UPP berjuang untuk maruah dan bukannya pertikaian yang memalukan,” katanya.

Hii berkata beliau menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat Hii King Chiong tiga tahun yang lalu untuk membantu rakyat yang memerlukan pertolongan. Bersama-sama dengan ahli-ahli pasukannya, mereka lebih mendekati rakyat untuk memahami secara mendalam dan menyelesaikan masalah mereka. Beliau berharap untuk melipatgandakan usahanya melalui platform politik yang lebih berkesan. Beliau menyeru agar sokongan dan peluang diberi kepada UPP untuk memberi khidmat kepada rakyat dan berjanji akan menunjukkan usaha dan hasil.

Beliau juga meminta rakyat berbilang kaum di Sarawak mengukuhkan perpaduan sebagai satu keluarga yang besar dengan semangat 1Malaysia. Beliau menggesa usahasama semua dalam perjuangan untuk keadilan, hak dan kepentingan rakyat Sarawak.
 

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"1625","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"270","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]